Ayam Goreng McD Ekstra Pedas (3x Lebih Pedas)

Seperti mana yang semua sedia maklum, rakyat Malaysia suka makan makanan pedas. Begitu jugalah dengan ayam goreng. Kebanyakan rangkaian restoran makanan segera di Malaysia seperti KFC, Texas Chicken dan McDonald’s turut menyediakan pilihan ayam goreng pedas, selain daripada ayam goreng biasa (regular) untuk para pelanggan mereka.

Walaupun tiada statistik rasmi diumumkan oleh mana-mana rangkaian restoran makanan segera di negara ini, namun kita dapat melihat bahawa sebahagian besar ayam yang dipesan oleh pelanggan merupakan ayam goreng pedas.

Pada bulan Julai 2019, McDonald’s Malaysia telah memperkenalkan Ayam Goreng Ekstra Pedas. Pada peringkat awal, menu ini dijual di sebilangan kecil restoran sebagai percubaan. Ayam Goreng McD Ekstra Pedas ini mula dijual di semua restoran McDonald’s bermula pada 24 Julai 2019.

Para pelanggan McDonald’s Bukit Bintang sedang beratur untuk memesan makanan masing-masing

Pada hari pertama pelancarannya, McDonald’s Malaysia mengiklankan Ayam Goreng McD Ekstra Pedas dalam aplikasi telefon pintar mereka. Kempen pemasaran ini ternyata menjadi apabila jumlah pelanggan meningkat dengan ketara pada hari tersebut, iaitu 24 Julai 2019. Keadaan di McDonald’s Bukit Bintang menjadi sesak dengan sebahagian besar pelanggan dilihat sedang menunggu pesanan makanan mereka siap.

Ayam Goreng McD Ekstra Pedas

Namun begitu, terdapat juga kesan yang kurang enak dilihat di kebanyakan restoran McDonald’s ekoran daripada jumlah pengunjung yang luar biasa ini. Sebagai contoh, pada waktu tengah hari, 26 Julai 2019, seorang staf (dipercayai bekerja sebagai pengurus) di McDonald’s MRR2 arah Kepong dilihat sedang mengherdik pekerjanya di hujung dapur berkenaan komitmen kerja tukang masak tersebut. Teguran kasar pengurus tersebut dapat didengari oleh semua pengunjung yang sedang memesan makanan di kaunter dan membuatkan mereka berasa tidak selesa.

Tinjauan di McDonald’s @ Curve NX Mutiara Damansara pada waktu malam, 26 Julai 2019 pula mendapati para pekerjanya kelihatan keletihan, mungkin kerana terpaksa melayan jumlah pelanggan yang tidak dijangka-jangka. Pelanggan yang datang ke kaunter untuk memesan makanan juga terus disuruh (disuruh, bukan dipelawa secara baik) untuk memesan makanan di mesin pesanan layan diri. Pekerja di kaunter tidak pula bertanya sekiranya pelanggan ingin menggunakan perkhidmatan yang tidak wujud di mesin pesanan layan diri, contohnya seperti menebus ganjaran di aplikasi telefon pintar McD.

Walaupun kami tidak menjangkakan layanan umpama hotel lima bintang di restoran makanan segera, namun begitu sebagai rangkaian restoran yang sudah lama bertapak dalam bidang makanan dan minuman ini, mereka sewajarnya memberikan latihan mutu perkhidmatan yang mencukupi untuk para pekerja supaya dapat mendepani jumlah pelanggan dengan baik.

Kemas kini 10 Ogos 2019

Pihak kami mendapati bahawa ada beberapa pengguna yang mengadu sakit perut selepas memakan Ayam Goreng McD ini sehingga mereka perlu bertemu doktor. Selepas para pelanggan meluahkan kekecewaan mereka dalam media sosial, kami mendapati ayam goreng ini sudah kurang pedas berbanding sewaktu kami mula-mula mencubanya dahulu.

Di kebanyakan restoran McDonald’s yang kami kunjungi, anda masih belum boleh memilih bahagian untuk Ayam Goreng McD ini.

Dikemas kini pada

Reviu: McDonald’s Smoky Beef Burger

Baru-baru ini, McDonald’s telah melancarkan dua jenis burger terbaharu, iaitu Hot N’ Crispy Chicken dan Smoky Grilled Beef. Oleh itu, kami telah berkunjung ke McDonald’s untuk merasai sendiri burger ini.

Resit Pembelian McDonald's 2018-03-27
Resit Pembelian McDonald’s 2018-03-27

Harga kombo untuk burger, air berkarbonat dan kentang goreng bermula pada RM 14.95 (termasuk GST). Anda juga boleh “upgrade” untuk menikmati air berkarbonat dan kentang goreng bersaiz besar dengan RM 1.60 sahaja.

Pembungkusan Smoky Grilled Beef Burger McDonald's - 2018-03-27
Pembungkusan Smoky Grilled Beef Burger McDonald’s – 2018-03-27

Burger ini dibungkus dalam kotak kertas yang berbeza. Pastinya berbeza, kerana harganya juga lebih mahal berbanding burger Big Mac.

Burger Smoky Grilled Beef - 2018-03-27
Burger Smoky Grilled Beef – 2018-03-27

Burger ini menggunakan kepingan daging yang agak besar, dipercayai kepingan daging yang sama untuk burger Big and Tasty yang pernah dijual sebelum ini.

Walau bagaimanapun, rasa unik pada burger ini ialah penggunaan sos Chipotle yang pedas dengan sedikit rasa masam dan manis yang pastinya mampu menarik minat para pengunjung.

Dengan harga kombo yang bermula pada RM 14.95, ianya sedikit mahal berbanding kombo-kombo lain di McDonald’s. Sebagai perbandingan, kombo 2 ketul Ayam Goreng McD hanya dijual pada RM 13.90.

Oleh itu, setelah merasai sendiri burger Smoky Grilled Beef ini, berikut merupakan dapatan reviu kami:

Cara Hidangan: 7/10

Rasa: 8/10

Harga: 5/10

 

Dikemas kini pada